skip to main |
skip to sidebar
CEBISAN rumput kering yang melekat pada seluar treknya disapu bersih. Zara masih setia di bawah pokok ketapang itu. Hari ini, berlangsungnya Kejohanan Olahraga kali ke 16 peringkat daerah yang dijalankan di sekolahnya. Zara tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan acara lari 100 meter lelaki dan perempuan yang bakal berlangsung seketika nanti. Mata Zara melilau ke kiri dan kanan. Dia tercari-cari akan kelibat temannya Suri dan Nadia. Kedua-duanya hilang sejak tadi. Katanya ingin membeli minuman di koperasi. Namun kini, masih juga tidak muncul-muncul. Dilemparkan pandangannya ke tengah padang. Kelihatan atlet-atlet sekolah seluruh daerah sedang memanaskan badan. Bersiap sedia untuk merebut gelaran juara kategori lelaki dan perempuan yang menjadi idaman. Dilihat Aqif, adiknya sedang berbual dengan Cikgu Malek, guru Pendidikan Jasmani sekolah mereka. Pasti berkenaan dengan acara yang bakal disertainya sekejap sahaja lagi. Zara perasan bahawa Nazim yang berada di tidak jauh darinya sedang berbual mesra dengan seorang cheer leader dari sebuah sekolah swasta yang terkemuka. Dia bukanlah peduli, cuma apabila sesekali mata Nazim terasa menikam memerhatikannya. Zara pura-pura tidak menyedari walau hakikatnya dia ingin sekali agar tidak bersemuka dengan lelaki dari kelas yang sama dengannya itu walau hanya sehari. Sedang asyik dia melayani perasaan, Suri dan Nadia muncul sambil membimbit beg plastik yang mengandungi makanan dan minuman yang dibeli dari koperasi sekolah. “Sorry sayang. Koperasi kena serbu tadi. Ramai gila manusia,” Suri menjelaskan alasan kelewatan mereka. “Iyalah tu. Entah-entah kau sempat ‘ngedate’ atlet sekolah lain tak?” Usik Zara. Dia sedia maklum akan hubungan Suri dengan Ashraff, seorang pelajar Tingkatan Enam dari sebuah sekolah lelaki yang berdekatan, yang turut menyertai sukan olahraga pada hari ini. Suri tersipu malu. Nadia pula asyik dengan dunianya menikmati keropok sira sambil mencuci mata. “Taklah. Cuma sempat say hi hi aje.” Balas Suri. “Lagi nak menipu aku. Macam aku tak kenal kau.” “Dah tu, buat aku macam tiang letrik. Tercongok tengok dia berdua. Kejam tau,” Nadia yang menyampuk tiba-tiba menyebabkan Zara tertawa geli hati. Siap dengan gaya lemah longlai yang tak tahan tu. “Mengungkit kau ye. Nanti aku tak kirimkan salam kau pada Faisal.” Semerta Nadia tersengih macam kerang busuk sambil mengurut-urut bahu Suri. Lebih kepada mengampu gayanya. Terkesan benar dia apabila Suri mengugut menggunakan nama abang sepupunya yang telah lama diminati oleh Nadia. “Alah, gurau manja sikit dah sensitif. Aku tarik balik eh kata-kata tadi.” Nadia memujuk. Zara masih ketawa perlahan. Geli hati melihat lagak desperate Nadia itu. “Jangan lupa salam aku tu.” Sempat dia memesan kepada Suri. “Perempuan ni, gedik semacamlah,” balas Suri selamba. Nadia juih bibir. Urutannya terhenti di situ. “Macam-macamlah kau berdua ni,” komen Zara melihat aksi lakonan Suri dan Nadia. Ada-ada sahaja idea mereka. “Zara, kenapa Nazim asyik pandang sini eh?” Suri bersuara sewaktu mereka asyik menyaksikan acara lari 100 meter. Zara yang kusyuk melihat Aqif beraksi di padang langsung tidak mendengar kata-kata gadis bertocang satu itu. “Yeay! Adik aku juara!” Zara bersorak girang diikuti oleh Nadia hinggakan dia bangkit dari duduknya. Gembira apabila adiknya yang berusia 15 tahun itu berjaya merangkul pingat emas sekaligus membawa nama kepada pihak sekolah. Ingin sahaja dia berlari ke arah Aqif yang dikerumuni guru dan rakan-rakannya. Suri bagaikan baru sedar dari mimpi. Terpinga-pinga melihat wajah ceria Zara dan Nadia. “Eh, eh apa yang aku dah terlepas ni?” “Minah ni, mengigau ke? Tak nampak si Aqif menang tadi?” balas Nadia. Zara masih memerhatikan adiknya. Sesekali dia melambai ke arah Aqif yang memandang ke arahnya sambil mengangkat kedua ibu jarinya. Betapa dia bangga dengan pencapaian Aqif. Suri garu kepala. “Tak perasanlah.” Dia merungut. “Kau tidur kenapa? Rugi tau. Dalam Buletin Utama malam ni belum tentu kau dapat tengok adik aku berlari. Limited edition. ” “Nazim la. Ralit pula aku perhati dia diam-diam.” Zara tidak menunjukkan minat. Bosan mendengar sebaris nama itu. “Jangan nak kata yang kau syok kat dia pula,” Nadia meneka. “Excuse me. Abang Ash aku mana nak letak? Satu lagi, siapalah boleh sangkut dengan mamat samseng macam dia tu. Please…” Suri sebak rambutnya gaya seorang diva. “Habis?” “Aku perasanlah yang dia asyik pandang sini.” “Biarlah. Mata dia, suka hati dialah. Buat tak nampak sudah,” Zara bersuara bagi menutup perbualan berkisar topik yang paling dia benci. “Zara, alang-alang dah terkeluar nama dia, aku nak tanya sikit boleh?” Nadia menyusun kata. “Tak boleh.” Balas Zara bersahaja. Tak larilah tu daripada topik mamat samseng seorang ni. “Bukan apa, aku cuma pelik aje. Kenapa dia selalu aje cari fasal dengan kau? Setahu aku kau kan baru aje transfer ke sini awal tahun. Maknanya baru tiga bulan. Tapi kenapa cara dia cari fasal dengan kau macam dah lama kenal?” Nadia mula mengeluarkan naluri detektifnya. “Kau tanya aku kenapa? Tanya dialah. Apa, kau ingat corak dia mencari fasal dengan orang lain bergantung kepada tempoh dia kenal orang tu ke? Malang betul aku sekelas dengan kepala angin tu,” luah Zara bersahaja. Dia sendiri kurang mengerti sikap Nazim. Macamlah dia ada buat kecoh dengan hal lelaki itu. Melampau betul caranya melayan aku. Tak ubah macam aku berhutang sepuluh juta dengan dia. “Itulah. Aku pun tak faham. Jarang aku tengok dia kacau perempuan. Kalau dengan student lelaki tu lain ceritalah,” Suri menyatakan pendapatnya. Kasihan juga dia kadang-kadang apabila teman yang dikenalinya sejak mereka di bangku sekolah rendah lagi ‘dibuli’ oleh Nazim, kapten bola keranjang dan jaguh tenis sekolah mereka. “Malaslah aku layan cakap fasal hal ni. Buang karan aje.” “Okey okey. Sorry darling. Kesimpulannya, kacau mood aje kan.” Nadia, teman rapat Suri yang juga mula bersahabat baik dengan Zara sejak tiga bulan yang lalu memberi hujah penutup. “Maaf diterima.” Suri menjawab bagi pihak Zara. “Jom makan? Laparlah. Asyik kunyah keropok aje mana nak kenyang.” “Kuat makanlah kau ni. Badan tak jugak gemuk. Jealous aku,” ulas Zara. “Alah, pertandingan belum habis lagilah. Tahanlah sikit lapar kau tu.” “Macamlah kau concentrate sangat dengan race. Kasihanilah perut aku ni. Asyik main lagu hip hop aje dari tadi. Penatlah,” pujuk Suri. Lama menanti jawapan, akhirnya Zara dan Nadia beralah. Niat untuk mendera Suri tidak kesampaian apabila telinga mereka dapat menangkap bunyi ‘keriukk’ daripada perut gadis itu, sekaligus mengundang tawa mereka. Lalu, mereka bertiga beriringan menuju ke café. TEPAT jam 4.00 petang, Zara sudah terbaring keletihan di atas tilamnya. Selesai mandi dan solat Zohor yang hampir ke hujung waktu, dia langsung tidak berlengah untuk merehatkan diri. Makan tengah hari yang disediakan uminya langsung tidak dijamah dek lenguh-lenguh satu badan. Seolah dialah atlet yang beraksi di padang sekolah tadi. Mengingatkan hal tadi membuatkan api kemarahan Zara kembali marak. Bagaikan lava gunung berapi yang berebut-rebut ingin memuntahkan lahar merahnya. Nazim sudah benar-benar menguji tahap kesabarannya yang paling tinggi sekali. Argh, kalau bukan Nazim, siapa lagi yang sanggup dan tergamak melakukan perkara itu? Sewaktu tamat persekolahan tadi, ketika pelajar yang lain berpusu-pusu menuju ke arah pagar sekolah, Zara mengambil peluang untuk ke perpustakaan sekolah terlebih dahulu. Dia yang sudah beberapa hari terlupa untuk memulangkan beberapa buah buku yang dipinjam bergerak menuju ke arah bilik darjah yang terletak di aras dua Bangunan Perdana. Bertujuan untuk mengambil buku-buku tersebut yang ditinggalkan di bawah mejanya. Keadaan kelas sunyi ketika dia tiba. Menandakan tiada sesiapa di situ. Namun begitu, apabila dia menghampiri mejanya yang terletak di tepi tingkap, Zara mengurut dadanya. Terkejut dengan pemandangan yang dilihat. Habis isi mejanya diselongkar dan disepahkan. Paling menyakitkan hatinya apabila sebuah buku rujukan yang dipinjam daripada perpustakaan terpisah dua. Dikoyakkan tanpa belas. Terkaku dia seketika. Hampir bergenang air matanya melihat keadaan tempat duduknya yang bagai ditiup taufan. Nasiblah kerusi mejanya tidak bercerai badan. Perlahan dia mengutip buku-bukunya yang bertaburan. Hatinya yakin. Kuat menyatakan bahawa disebalik semua ini, berdirinya lelaki yang bernama Nazim Ehsan itu. Kejamnya lelaki itu. Ikutkan hati yang marah, ingin juga dia melakukan hal yang sama terhadap meja Nazim di belakang kelas. Namun, dia masih sedar kalau itu tidak membawa sebarang perubahan. Sekali lagi, wangnya bakal terbang bagi menggantikan harga buku yang bernilai puluhan ringgit itu. Zara mengeluh perlahan. Setelah selesai urusannya di perpustakaan sekolah, Zara berjalan menuju ke arah kawasan parkir yang disediakan khusus untuk para pelajar. Mengingatkan sesi soal jawab dengan pustakawan sebentar tadi membuatkan hatinya sebal. Macamlah aku yang koyakkan buku tu. Ingat aku ni bengap sangat ke nak pisah buku tebal tu jadi dua. Aku pun reti juga nak hormatkan ilmu. Apasal nak marah aku pulak? Marahlah si samseng Nazim tu. Mintak sekali duit ganti dengan dia. Berbakul-bakul dia menggumam tidak puas hati. Namun, dia juga sedar akan silapnya kerana meninggalkan harta perpustakaan di bawah meja. Sungguhpun begitu, tidak wajar sikap Nazim yang ketara jahatnya memusnahkan hak milik perpustakaan sekolah walaupun nama Zara yang tertera sebagai peminjamnya. Baru sahaja dia ingin memasukkan anak kunci ke dalam tengkuk skuter Yamaha Nouvo Snya, Zara tepuk dahi. Seakan tidak percaya dengan kejutan kedua yang diterimanya pada hari ini.
Zara terduduk taktala melihat tayar depan dan belakang motosikalnya kempis. Serta merta air jernih mengalir di pipinya yang merah dek bahang mentari. Penat terasa menghadapi saat-saat yang tak terduga itu. Kosong fikirannya seketika. Sampai hati dia diperlakukan sedemikian. Seumur hidupnya, belum pernah dia menghadapi saat-saat yang dirasakan sukar sebegitu. Apa salahnya? Apa khilafnya hingga dia diperlakukan sedemikian rupa? Lama dia terdiam di situ. Beberapa orang pelajar yang lalu lalang cuma melihat, langsung tidak masuk campur. Mungkin mereka aneh melihat Zara diam merenung tayar motorsikalnya. Dan di suatu sudut yang tersembunyi, sepasang mata sedari tadi memerhatikan Zara yang malang. Terukir senyuman di bibir. Tanda puas yang amat melihat nasib gadis itu.
2 sedang ZZZ:
nouvo s eyh yuha?hahak..
ke nk suh tulis limo?
Post a Comment